Tuesday, 14 June 2011

Sukan Momolositik(Melastik)



Pada zaman dahulu kala, momolositik ataupun melastik adalah satu aktiviti yang digunakan semasa memburu binatang sahaja. Oleh kerana dahulunya senapang  masih belum digunakan lagi, maka lositik digunakan sebagai satu senjata semasa berlakunya sebarang peperangan.


Momolositik secara meluas digunakan oleh suku kaum KadazanDusun.Lositik ini diperbuat daripada bahan bercabang(takang), getah digunakan sebagai bahan pengikat, minulang(tempat menyimpan peluru), dan juga batu sebagai peluru. Tanah liat juga digunakan sebagai peluru untuk mengenakan sasaran utama seperti binatang ataupun musuh. Tanah liat ini diambil di lereng-lereng bukit dan di dasar sungai. Ianya dibentuk menjadi ketulan batu dan dijemur sehingga keras.


Menurut sumber yang diperolehi, aktiviti momolositik ini ada keunikannya, di mana kulit kambing sering digunakan sebagai minulang iaitu tempat untuk menyimpan peluru(batu/tanah liat) semasa aktiviti lositik dijalankan. Kulit kambing ini diambil semasa upacara penyembelihan kambing dijalankan yang mana kulit tersebut akan dipisahkan daripada isinya. Selepas dibersihkan, kulit tersebut akan dijemur sehingga kering dan disimpan atau digunakan sebagai bahan-bahan lositik.